KUALA LUMPUR | Kontraktor G1 dan G2 bagi projek-projek berskala kecil di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 berkuatkuasa serta merta.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan ia diputuskan hasil Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada kelmarin.
Katanya, kontraktor berkenaan tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Surat operasi ini akan dikeluarkan oleh PBT bagi mempercepatkan proses kerja.
“Surat kebenaran yang dikeluarkan oleh PBT tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa yang dikeluarkan MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kerja Raya (KKR), peraturan-peraturan PBT bagi mengekang wabak COVID-19,” katanya di sini hari ini.