Oleh: IDIHAYS. SB
KOMITMEN serta prestasi dicatat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membantu golongan memerlukan hasil wang agihan zakat secara langsung dan tidak langsung tidak boleh dinafikan lagi.
Malah, dengan nilai lebih RM1 bilion diagih sejak Mac 2020 sehingga Mei lalu, telah membuktikan MAIWP sentiasa terkehadapan membantu asnaf dan golongan rakyat yang memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, tempoh Mac hingga Disember tahun lalu sebanyak RM732.55 juta kutipan zakat diagihkan MAIWP kepada golongan yang layak dibantu.
Beliau berkata, tempoh lima bulan.pertama tahun ini pula, sejumlah RM303 juta hasil zakat disalur melalui 30 skim bantuan, antaranya ialah bantuan perniagaan (Musa’adah Tijariyyah) dan bantuan zakat kecemasan termasuk belanja pengurusan, prasarana dan kemudahan asnaf,” katanya ketika mengumumkan pencapaian MAIWP bagi tempoh Mac 2020 hingga Mei lalu di laman Facebook, pada Khamis.
Selain instrumen agihan bantuan sedia ada, kata Zulkifli, MAIWP turut mengadakan beberapa lagi pembaharuan sejak Mac tahun lalu memperkenal aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) bagi tujuan membantu orang ramai melaporkan kewujudan golongan asnaf..
Katanya, aplikasi dilengkapkan teknologi sistem pengesanan lokasi (GPS) itu telah memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP mengesan golongan asnaf memerlukan bantuan di Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, perkhidmatan bantuan lain bakal diperkenalkan adalah Projek Foodtruck MAIWP, dijangka menyediakan makanan secara percuma kepada 750 golongan asnaf dan mereka yang memerlukan setiap hari untuk tempoh lima hari.
“Selain itu projek Kedai Makan Usahawan MAIWP membabitkan tiga kedai milik usahawan asnaf pula akan memberi manfaat makanan percuma bagi 300 golongan asnaf dan warga memerlukan selama lima hari seminggu.
“Projek Foodrider MAIWP pula membabitkan 10 kakitangan MAIWP yang ditugaskan menghantar Kit Bantuan Makanan kepada asnaf akan turut dilaksanakan,” katanya.