KUALA LUMPUR | Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memperkasa peranan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Selangor untuk membantu meningkatkan tahap kesedaran pendaftaran vaksin di kalangan ahli kariah.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS melihat peranan masjid dan surau perlu ditingkatkan bukan sahaja sebagai tempat beribadah malah sebagai pusat rujukan utama oleh ahli kariah masjid atau surau.
“Ini termasuk masjid dan surau sebagai pusat informasi dan penyebaran maklumat yang sahih kepada masyarakat sekitar mengenai kepentingan mengambil vaksin COVID-19.
“Pada ketika ini, walaupun aktiviti bersemuka di masjid atau surau amatlah terhad, namun aktiviti secara atas talian boleh dilaksanakan secara meluas seperti bacaan al-Quran, ceramah, tazkirah dan sebagainya bersama ahli kariah, termasuk perkongsian dan seruan berkaitan pengambilan vaksin melalui atas talian.
“MAIS berharap dengan adanya pendekatan ini, sedikit sebanyak boleh menimbulkan kesedaran dan kefahaman kepada ahli kariah yang tinggal berdekatan masjid atau surau berkaitan kepentingan mengambil vaksin COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, MAIS berpandangan, keputusan yang dibuat itu sangat diberikan penekanan dalam Islam iaitu hifzu al-nafs, memelihara nyawa.
Katanya, umat Islam disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dan mengharamkan perbuatan yang akan menyebabkan nyawa terancam dan berada dalam kebinasaan.
“MAIS menzahirkan sokongan dan kerjasama yang padu terhadap Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor bermula Februari 2021 sehingga kini.
“Pihak MAIS melihat tindakan kerajaan dan kerajaan negeri Selangor menyediakan vaksinasi bagi melindungi rakyat negara ini dari wabak COVID-19. MAIS menyokong usaha kerajaan membangunkan vaksin sendiri bagi melawan wabak ini.
“Bagi membantu pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta mencapai imuniti kelompok, pihak MAIS mengajak umat Islam khususnya yang menetap di negeri Selangor untuk mengambil vaksin yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Beliau berkata, umat Islam diminta untuk meyakini bahawa vaksin yang ditawarkan kerajaan adalah halal toyyiban dan telah melalui proses penilaian yang ketat serta semakan dari semua aspek.
Beliau berkata, kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa ianya selamat digunakan bagi membentuk imuniti kelompok.
Tamat.