BANGKOK | Seorang pesakit Covid-19 berusia 54 tahun maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang bekas anggota tentera di sebuah hospital lapangan di Thailand hari ini.
Lapor Reuters, hospital lapangan berkenaan menempatkan pesakit Covid-19 di kawasan itu.
Menurut polis, suspek yang berusia 23 tahun percaya semua pesakit di hospital berkenaan yang terletak di Pathum Thani berhampiran Bangkok merupakan penagih dadah dan dia bencikan golongan tersebut.
Hospital lapangan itu sebelum ini pernah dijadikan sebagai pusat pemulihan dadah dan diubah untuk merawat pesakit Covid-19.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek yang memakai uniform tentera memasuki hospital lapangan tersebut.
Beberapa jam terdahulu, suspek menembak mati seorang pekerja kedai serbaneka di Bangkok selepas bertengkar dengan mangsa.
Suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan.