PETALING JAYA | Peningkatan bayaran sagu hati untuk sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 turut dinikmati sukarelawan yang khusus menyantuni Orang Kurang Upaya (OKU), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memetik Bernama, Perdana Menteri berkata pada ketika ini terdapat kira-kira 100 sukarelawan yang membantu memastikan kelancaran proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 membabitkan golongan OKU.
“(Pertambahan) bayaran ini dari RM50 sehari ke RM100 sehari juga kita berikan kepada sukarelawan OKU yang kini kira-kira 100 orang dan jumlah (sukarelawan) ini mungkin bertambah,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu OKU Sentral di Menara Sime Darby Plantation, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Dalam sidang media di Tangkak, Johor pada 22 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan peningkatan kadar bayaran tersebut sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan sukarelawan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata ketika ini terdapat 579,150 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan daripada jumlah itu, seramai 280,904 telah berdaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), setakat 20 Jun lalu.
Katanya daripada jumlah itu, seramai 15,914 sudah mendapat suntikan dos pertama, manakala 3,859 lagi sudah melengkapkan vaksinasi dua dos.
Tamat.