KUALA LUMPUR | Sebanyak 885 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan dalam tempoh 10 hari sehingga semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, manakala 265 premis telah diarahkan tutup dan 39 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi
prosedur operasi standard (SOP) serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, kompaun dan pemeriksaan itu dijalankan menerusi Op Patuh yang diadakan di seluruh negara.
“Op Patuh akan memberikan lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi, termasuk penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan, atau agensi yang diputuskan sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP COVID-19 (JKPS) telah ditubuhkan dan mesyuarat pertama JKPS yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri hari ini disertai oleh wakil dari 21 kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.
“Saya percaya, penubuhan JKPS akan mengoptimumkan penglibatan dan penugasan anggota dari semua agensi penguatkuasa yang diturunkan kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, ketegasan dan keberkesanan aspek penguatkuasaan amat penting bagi membolehkan negara dapat beralih kepada fasa pemulihan yang lebih baik dengan segera, sejajar dengan Dasar Pemulihan Negara yang telah dirangka oleh Kerajaan.
“Orang awam boleh mengemukakan aduan mengenai pelanggaran pematuhan SOP PKP melalui saluran aduan sedia ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu
aduan.pematuhan@mkn.gov.my atau saluran aduan Kementerian Dalam Negeri di aduan.sop@moha.gov.my,” katanya.