PELABUHAN KLANG | Lebih 51,500 barisan hadapan dalam sektor pengangkutan dijadualkan menerima suntikan vaksin secara berfasa bermula hari ini.
Memetik Harian Metro, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pada peringkat pertama hari ini, pemberian vaksin sektor pengangkutan laut atau maritim melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta dikendalikan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
“Ini membabitkan 10,000 pelaut, petugas pelabuhan dan kapasiti pengendalian PPV ini adalah 1,000 orang sehari. Syarikat-syarikat pengangkutan yang terbabit dengan program ini akan menanggung secara bersama kos penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“LPK juga bertindak sebagai penyelia bagi petugas pelabuhan manakala Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM) menyelia bagi pelaut.
“Pendekatan ini akan memanfaatkan seramai 18,596 orang atau 53 peratus penyelia dan petugas pelabuhan di wilayah tengah yang layak menerima vaksin bagi fasa pertama ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Sektor Pengangkutan (Maritim) di Dewan Kelab Sukan LPK, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemberian secara berfasa dilaksanakan dengan fokus kepada pelaut dan petugas pelabuhan di Pelabuhan Klang terlebih dahulu sebelum diteruskan ke wilayah utara, Kuantan, Johor, Sabah serta Sarawak.
Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk memastikan semua yang terbabit dalam pengangkutan darat dan udara akan menerima vaksin dalam tempoh terdekat.
“Program pemberian vaksin sektor pengangkutan udara akan bermula 5 Julai di Bangunan Terminal Utama KLIA manakala bagi sektor pengangkutan darat pula dalam masa terdekat,” katanya.