KUALA LUMPUR | Enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Sabah akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Kuala Lumpur membabitkan Kampung Segambut Dalam dan Jalan Kubur, Pantai Dalam bermula tengah malam ini sehingga 9 Julai depan.
Katanya, terdapat peningkatan kes positif COVID-19 dalam masa yang singkat apabila sebanyak 78 kes positif daripada 646 saringan di Kampung Segambut.
“Sebanyak 53 kes positif dilaporkan hasil ujian saringan ke atas 79 orang di Jalan Kubur, Pantai Dalam.
“PKPD di Sabah membabitkan masing-masing dua lokaliti di Tawau dan Sandakan yang akan bermula Ahad ini sehingga 10 Julai depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, dua lokaliti di Tawau adalah Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih manakala di Sandakan adalah Lorong 12, 15 dan 16 Taman Fajar serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni.