KUALA LUMPUR | Bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan, tekanan, kemurungan dan sebagainya janganlah bertindak melulu yang akhirnya membawa musibah kepada semua.
Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengajak mereka yang menghadapi masalah berkenaan untuk menghubungi MyCareCOV19 JAKIM.
“Kami bermula sejak April 2020 dengan tujuan memberi sokongan emosi kepada rakyat Malaysia yang menghadapi masalah berkaitan dan ia diwujudkan untuk memberi bantuan,” katanya menerusi facebooknya hari ini.
MyCare Covid19 adalah merupakan inisiatif JAKIM bersama rakan strategik agensi-agensi lain dalam menyediakan bantuan kerohanian, spiritual bagi membantu masyarakat Islam dan bukan Islam dalam menangani permasalahan dan isu sosial dan komuniti yang timbul sepanjang tempoh PKP sedang berkuatkuasa.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan bermula 1 hingga 24 Jun pihaknya menerima 292 panggilan dengan pelbagai aduan.
Mereka yang berkenaan boleh menghubungi talian 03-88707519/ 727/7528 untuk berkongsi masalah.
Sementara itu, bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang setiap hari pihak MyCare Covid19 akan menghubungi mereka yang membuat aduan menerusi nombor 03-8870700.
Beliau juga meminta agar orang ramai turut berkongsi ‘posting’ facebooknya untuk sama-sama membantu JAKIM memeluk jiwa dan emosi mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menggunakan pautan http://mycare.islam.gov.my