KUALA LUMPUR | Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat dalam apa jua perkara semenjak berlakunya pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan kumpulan tertentu.
Begitu juga berkait dengan i-Sinar dan i-Lestari yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu rakyat mengharungi cabaran pandemik COVID-19.
Itulah yang dikongsikan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini apabila salah satu permintaan yang sering diterima kementeriannya ialah perlanjutan program i-Sinar dan i-Lestari.
Menurutnya, KWSP telah menganjurkan Sesi Zoom dengan beberapa orang influencer di kalangan rakyat bagi mendengar secara terus suara rakyat tanpa sebarang tapisan.
“Saya dimaklumkan oleh KWSP bahawa selain para influencer mereka turut menjemput peserta dari FB groups yang khusus memfokus kepada i-Sinar, i-Lestari dan bantuan-bantuan Kerajaan.
“Saya sebenarnya memang merancang dan teruja untuk turut serta dalam sesi ini tetapi malangnya saya tidak dapat hadir pada saat akhir disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Namun begitu, saya tetap merakam pandangan untuk dikongsi bersama peserta sesi Zoom semalam. Saya juga telah menonton rakaman sesi tersebut kemudian. Banyak idea dan cadangan yang menarik diutarakan,” tulisnya di facebook rasminya hari ini.

Tengku Zafrul berkata, KWSP dan Kementerian Kewangan sentiasa mendengar luahan dan keluhan rakyat.
“Sesi ini adalah sebahagian usaha kami untuk mendapatkan maklumbalas bagi membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.
“Baru kelmarin saya telah bermesyuarat bersama CEO KWSP Datuk Seri Amir Hamzah, dan pengurusan kanan KWSP bagi memperhalusi bantuan yang sesuai untuk Pelan Pemulihan Negara,” katanya.
Katanya, bercakap tentang Pelan Pemulihan Negara, kerajaan sedar bahawa anda memerlukan bantuan bagi mengharungi Fasa 1 dan fasa-fasa seterusnya Pelan Pemulihan Negara.
Ingin saya tekankan bahawa Kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan dan penyelesaian yang dikemukakan.
“Salah satu permintaan yang sering kami terima ialah perlanjutan program i-Sinar dan i-Lestari.
“Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi rakyat, malah saya juga secara peribadi ada kenalan dan saudara yang memohon i-Lestari dan i-Sinar dalam mereka menghadapi cabaran masa ini,” katanya.
Katanya, pada masa yang sama ada juga pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik Kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen dan simpanan hari tua rakyat tergugat disebabkan Kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran dari KWSP.
“Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah ada pelbagai suara menyokong dan membantah. Kami akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak,” katanya.