SHAH ALAM | Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah bermula pada 1 Julai ini.
JAIS menerusi hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan, akad nikah itu akan dilaksanakan mengikut ketetapan berikut dengan kehadiran fizikal pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja dari Isnin hingga Ahad.
Katanya, pasangan perlu mendapat tarikh daripada JAIS dan PAID.
“Kehadiran terhad dengan pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali. Individu lain yang dibenarkan hadir termasuk jurugambar.
“Telah mendapat kebenaran untuk berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun 2021 dan keputusan ujian saringan HIV lelaki dan perempuan masih sah.
“Pengantin lelaki, perempuan dan wali wajib menjalani ujian saringan RT-PCR COVID-19 dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis,” katanya.
Menurutnya, pihah yang terlibat perlu patuh kepada ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri Selangor.
Katanya, jika terdapat mana-mana pelanggaran Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah.
1 Comment
Ini satu berita yang baik. Terima kasih JAIS!