KUALA LUMPUR | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meraikan kejayaan pelajar masyarakat Orang Asli yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, seramai 27 orang anak-anak masyarakat Orang Asli di seluruh negara berjaya memperolehi keputusan cemerlang dengan mendapat 5A ke atas.
“Selangor sendiri seramai enam pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang terdiri daripada 10A, 8A, 7A dan 5A.
“Kejayaan mereka pada hari ini secara tidak langsung menjadi kebanggaan kepada JAKIM melalui Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) yang senantiasa menyantuni urusan kebajikan serta hal ehwal Islam dan Fardhu Ain masyarakat Orang Asli,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya di sini, malam tadi.
Beliau menyampaikan ucapan dalam Majlis Apresiasi Kasih Kampung Orang Asli Negeri Selangor yang diadakan secara maya di enam lokasi seluruh Selangor.
“Majlis pada hari ini, kita adakan khusus bagi meraikan anak-anak masyarakat Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang di dalam SPM 2020.
“Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Penggerak Masyarakat Orang Asli, Bahagian Dakwah JAKIM, Batin-Batin Negeri Selangor dan anak-anak Masyarakat Orang Asli yang berjaya dalam SPM,” katanya.
Beliau berkata, sebagai tanda penghargaan, JAKIM berbesar hati menyalurkan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli Selangor sebanyak RM38,500 bagi bantuan sekali beri (one-off) sempena pandemik COVID-19.
Katanya, ia akan disalurkan ke lima buah kampung Orang Asli di Selangor iaitu Kampung Orang Asli Bukit Bandaraya, Shah Alam; Kampung Orang Asli Sungai Buloh, Sungai Buloh; Kampung Orang Asli Taman Desa Kemandol, Kuala Langat; Kampung Orang Asli Buluh Telor, Hulu Selangor dan Kampung Orang Asli Sungai Judah Pulau Carey, Kuala Langat.