KUALA LUMPUR | Sebanyak 2,082 syarikat dari seluruh negara dengan jumlah pekerja seramai 301,050 orang telah membuat permohonan menyertai program Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat 16 Jun lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertambahan jumlah permohonan itu adalah memberangsangkan.
Katanya, setelah seminggu PIKAS dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, permohonan yang diterima oleh MITI adalah amat menggalakkan.
“16 Jun lalu, saya melawat program PIKAS ke Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd dan syarikat ini menyambut baik pelaksanaan PIKAS dalam memastikan keselamatan pekerja.
“Semasa lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ini, saya dimaklumkan 2,371 pekerja akan mendapat suntikan dengan kapasiti harian 300 dos bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima.
“Hari berikutnya, saya meninjau pelaksanaan PIKAS di PPV Bukit Jawi Golf Resort dan saya diberitahu bahawa PPV-PIKAS Jawi adalah kolaborasi 21 syarikat pembuatan yang berpusat di Taman Industri Batu Kawan dan menjangkakan seramai 16,402 pekerja akan divaksin sepanjang program itu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, negeri Johor sahaja sebanyak 255 syarikat telah berdaftar dengan jumlah pekerja seramai 14,357 orang.
Katanya, pada 12 Jun, MITI menerima permohonan lebih 500 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 106,591 orang sahaja untuk menyertai PIKAS.
“Pertambahan jumlah permohonan menunjukkan peningkatan yang amat membanggakan. Ini merupakan salah satu petunjuk kejayaan program PIKAS buat pemain industri.
“Di samping itu, bagi merancakkan lagi usaha ini, MITI sedang menilai beberapa lokasi berpotensi PPV untuk program PIKAS. Usaha ini dilipatgandakan bagi menampung permohonan syarikat yang semakin bertambah sekali gus dapat mempercepatkan proses vaksinasi bagi pekerja di dalam sektor kritikal.
“Saya berharap program ini dapat berjalan lancar dan selesai mengikut jadual. Oleh itu, kita dapat mempercepatkan proses negara melandaikan keluk wabak COVID-19 dan ekonomi negara berjalan lancar serta rakyat boleh menikmati kehidupan seperti biasa,” katanya.