PUTRAJAYA | Masih degil apabila seramai 696 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semalam.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut seramai 671 individu dikompaun.
Katanya, selain itu seramai 25 individu lagi direman atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan tertinggi direkodkan semalam adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran termasuk makan serta minum di premis iaitu sebanyak 163.
“Untuk kesalahan tidak memakai pelitup muka sebanyak 156 kompaun dikeluarkan dan bagi individu yang gagal merekodkan butiran diri seramai 118,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau juga berkata, kompaun turut dikeluarkan terhadap tiada penjarakan (107), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58), membawa penumpang berlebihan (36), premis gagal patuhi arahan (13) dan lain-lain (45).
Katanya, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 97,560 pemeriksaan semalam.
“la melibatkan 4,706 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 21,248 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP ketika PKP 3.0,” katanya.