PUTRAJAYA | Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN,JPM) tidak pernah menghasilkan atau membuat hantaran di mana-mana platform rasmi pihaknya berkaitan poster pelanjutan PKP 3.0.
MKN dalam satu hantaran di facebook rasminya juga meminta semua pihak berhenti menyebarkannya.
“Pastikan sahih, baru kongsi!,” katanya hari ini.
Poster yang tular itu memaklumkan bahawa PKP 3.0 akan dilanjutkan bermula 29 Jun sehingga 12 Julai ini.
Tarikh samada PKP 3.0 fasa seterusnya akan dilanjutkan ataupun sebaliknya sememangnya dinanti-nantikan semua pihak.
PKP 3.0 atau total lock down fasa kedua bermula 15 Jun lalu dan akan berakhir pada 28 Jun ini.
Berhubung perkara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tiga hari lalu memaklumkan keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung atau beralih ke fasa seterusnya akan diumumkan tiga atau dua hari sebelum 28 Jun ini.
Perdana Menteri memberitahu pengumuman tidak akan dibuat dalam masa terdekat, berikutan perlu menunggu lebih banyak data dianalisa Kementerian Kesihatan (KKM).