VIENNA | Russia memberi amaran berkemungkinan melancarkan serangan bom terhadap kapal perang Britain sekiranya tentera laut negara itu melakukan tindakan provokasi lanjut di Laut Hitam.
BERNAMA melaporkan perkara itu ditegaskan perwakilan Russia ke rundingan Vienna mengenai kawalan senjata dan keselamatan ketenteraan, Konstantin Gavrilov, semalam.
Terdahulu, Menteri Pertahanan United Kingdom (UK), Ben Wallace, mengulangi dakwaan bahawa HMS Defender melakukan ‘pelayaran biasa’ melalui perairan Ukraine berhampiran Crimea, Rabu lalu, ketika bot bersenjata dan pesawat pengebom Russia dikerah menghalau kapal perang itu.
Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan bahawa pesawatnya menjatuhkan empat bom di laluan kapal perang Britain berkenaan.Sputnik melaporkan Gavrilov sebagai berkata, beliau berang dengan dakwaan tentera UK itu.
“Bom seterusnya – jika kami memutuskan untuk berbuat sedemikian – akan dijatuhkan ke sasaran dan bukan di laluan kapal,” katanya.Russia mendakwa bahawa kapal perang Britain itu belayar memasuki perairan negara berkenaan hingga sejauh tiga kilometer, berhampiran pangkalan tentera laut dekat Sevastopol, sekali gus menyebabkan pihaknya terpaksa melepaskan tembakan amaran.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan UK mendakwa tembakan dilepaskan Russia itu adalah sebahagian daripada latihan.