KUALA LUMPUR | Sidang Khas Parlimen dijangka akan bersidang Ogos nanti sekiranya semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir Julai nanti.
Dalam satu kenyataan bersama Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, ianya akan berlaku sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan mesyuarat.
Katanya, dengan andaian itu dicadangkan agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal bulan ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara dan Kemneterian Kesihatan Malaysia.
“Sesi Sidang Khas ini penting untuk memastikan semua Ahil Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan.
“Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia-ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan Juga Ahl-ahll Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut kenyataan itu lagi, mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September.
“Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan mengambil inisiatif utama ini demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan kemudian setelah Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan,” katanya.
Ujarnya, mengambil kira keadaan semasa di mana penyebaran wabak Covid-19 masih di dalam peringkat pembendungan dan juga perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa masa kini, Parlimen Malaysia berpendapat bahawa langkah spesifik perlu diambil bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid-19 secara meluas akibat daripada persidangan Parlimen.
Katanya, menyedari hakikat ini, Parlimen Malaysia berhasrat untuk menyediakan kemudahan persidangan alternatif yang diharapkan dapat mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 ketika persidangan Parlimen diadakan kelak untuk pertimbangan kedua-dua Dewan.
“Dengan tujuan ini, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid yang dipengerusikan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan dianggotai oleh Timbalan-timbalan Yang di-Pertua dan setiausaha kedua-dua Dewan serta pihak urus setia Parlimen Malaysia di bawah pimpinan Puan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia telah ditubuhkan.
“Jawatankuasa Khas telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi perjalanan persidangan hibrid dan telah mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat secara hibrid.
“Secara umumnya, persidangan hibrid ini melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara dan yang selebihnya mempunyai pilhan sama ada untuk hadir secara fizikal tertakluk kepada apa-apa syarat mesyuarat yang dikenakan oleh MKN ataupun KKM pada masa persidangan mahu pun maya,” katanya.