KUALA LUMPUR | Talian Bantuan Sokongan Psikososial telah menerima sebanyak 122,328 panggilan bermula 1 Januari sehingga 18 Jun.
Daripada jumlah itu, sebanyak 109,806 panggilan (89.4 peratus) adalah berkait rapat dengan isu psikologi kesan daripada pelbagai masalah sosial.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, isu psikologi membabitkan kehilangan punca pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumahtangga.
Katanya, panggilan lain termasuk maklumat COVID-19 sebanyak 6,163 panggilan dan isu hubungan keluarga 2,660.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan beberapa inisiatif dalam menangani tekanan yang dihadapi antaranya bekerjasama dengan MERCY Malaysia dalam memberikan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial yang berpusat di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC), KKM sejak 25 Mac tahun lalu.
“Talian ini dikendalikan oleh pegawai psikologi kaunseling KKM serta dibantu oleh sukarelawan pegawai psikologi agensi lain dan badan bukan kerajaan (NGO).
“KKM juga bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan mewujudkan talian bantuan masing-masing iaitu KSK Care (JAKIM) dan Talian KASIH,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, di peringkat lapangan seperti hospital dan klinik kesihatan, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial atau MHPSS (Mental Health Psychosocial Support Service) turut disediakan untuk kumpulan sasar.
Menurutnya, sepanjang pandemik COVID-19 terutama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masyarakat terkesan dari segi emosi dan kesihatan mental.
“KKM ingin menasihatkan masyarakat mengenai beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan impak psikologikal antaranya mengenal pasti punca kebimbangan, elakkan stigma serta melabel secara negatif mereka yang dijangkiti COVID-19 kerana boleh menimbulkan diskriminasi serta menghalang orang ramai untuk mendapatkan saringan dan rawatan.
“Memastikan penjagaan diri yang baik bagi mengekalkan tahap kecergasan yang optima serta mendapat ketenangan jiwa, komunikasi berterusan dengan keluarga dan rakan, segera mendapatkan khidmat kaunseling jika perlu sokongan emosi serta mental dan sentiasa peka dengan perubahan diri serta individu yang memerlukan sokongan.
“Impak psikologi perlu diberi perhatian dalam menghadapi ancaman wabak COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, KKM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Majlis Agama, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di lapangan.