NAIROBI | Jumlah kes Covid-19 di Afrika kini pantas melonjak secara ketara ketika benua itu sedang bergelut dengan gelombang ketiga sehingga menimbulkan ancaman besar terhadap infrastruktur kesihatan awam.
Lapor Agensi, Pengarah Serantau WHO untuk Afrika, Matshidiso Moeti, berkata benua itu sedang mengalami lonjakan jangkitan berikutan pelonggaran langkah pencegahan, cuaca sejuk dan kemunculan varian baharu.
Dalam satu kenyataan, menurutnya, gelombang ketiga menular lebih cepat dengan laporan peningkatan jumlah kes serta penyakit yang serius menimbulkan ancaman menjadi krisis paling buruk di Afrika.
Katanya, benua itu boleh membendung gelombang jangkitan ketiga jika ia mematuhi dengan ketat protokol kesihatan awam dan menjalankan program vaksin yang cepat.
Beberapa negara Afrika juga gagal melaksanakan kempen suntikan menggunakan bekalan vaksin daripada program COVAX di bawah naungan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (PBB).
Antara lain, masalah berlaku kerana kesangsian penduduk Afrika sendiri untuk mendapatkan suntikan dan isu logistik yang menyebabkan kebanyakan vaksin dibekalkan sudah hampir tarikh luput.
Malawi memusnahkan hampir 20,000 vaksin AstraZeneca yang sudah melepasi tarikh luput Mei lalu manakala DRC dan Sudan Selatan mengembalikan lebih dua juta dos suntikan kepada PBB bagi mengelakkan masalah sama.
Sementara itu, pihak berkuasa di Congo-Brazzaville pula risau dengan kekurangan sambutan terhadap hampir 100,000 dos vaksin buatan China yang akan mencapai tarikh luput Julai ini.
Statistik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Afrika CDC) menunjukkan benua itu mencatatkan 5,288,323 jangkitan termasuk 139,226 kematian semalam.
Setakat ini negara Afrika terhindar daripada bencana seperti dihadapi Brazil atau India, bagaimanapun kini ia muncul kembali pada tahap yang amat membimbangkan di sekurang-kurangnya 12 negara.
Kes di kebanyakan negara turut mencapai kemuncak tertinggi dalam tempoh hanya tiga minggu.
Lima negara termasuk Afrika Selatan, Maghribi, Tunisia, Mesir dan Ethiopia menyumbang 62 peratus daripada semua kes yang dilaporkan di benua itu berikutan tiga varian utama yang mendorong kenaikan mendadak kes jangkitan.
Moeti berkata, jangkitan coronavirus meningkat di Afrika dalam lima minggu terakhir sejak bermulanya gelombang ketiga pada 3 Mei lalu dan kenaikan 21 peratus boleh melengahkan usaha melandaikan lekukan.
Menurut Moeti, varian delta yang awalnya dilaporkan di India dikesan di 14 negara Afrika dan dalam sebulan terakhir, ia dikenal pasti dalam sebilangan besar sampel yang dikesan di Uganda dan Republik Demokratik Congo (DRC).
Tambah beliau, WHO mengerahkan pakar ke beberapa negara mengalami lonjakan yang belum pernah terjadi sebelumnya termasuk Uganda dan Zambia untuk meningkatkan langkah mitigasi termasuk diagnosis serta rawatan segera.
Tamat