KOTA BHARU | Wanita 90 tahun antara 14 korban COVID-19 di Kelantan yang direkodkan dalam tempoh dua hari pada kelmarin dan semalam.
Pertambahan angka kematian tersebut menjadikan sehingga semalam, 207 kematian direkodkan di Kelantan.
Semalam lapan kematian dilaporkan melibatkan lima lelaki dan tiga perempuan manakala kelmarin enam kematian direkodkan iaitu empat wanita dan tiga lelaki.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, mangsa berusia 47 tahun sehingga 90 tahun dan majoritinya adalah warga emas.
Warga emas berusia 90 tahun berkenaan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II semalam dan tiada sejarah penyakit.
Enam wanita lain yang dilaporkan meninggal dunia adalah berusia, 58,62,66,76,81 dan 84 tahun manakala tujuh orang lelaki adalah berumur 47,50,65,69,75,85 dan 88 tahun.
Dalam pada itu, 10 kematian yang direkodkan untuk kedua-dua hari tersebut menunjukkan mereka mempunyai sejarah penyakit kronik.
Semalam juga, seorang lelaki warga emas berusia 88 tahun yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan patu-paru kronik meninggal dunia di HRPZ II.
Sementara itu, kelmarin mangsa paling muda adalah lelaki berusia 47 tahun dan tidak mempunyai sejarah penyakit.
Turut direkodkan ialah seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun yang meninggal dunia di HRPZ II dan tidak mempunyai sejarah penyakit.
Berdasarkan pada rekod kematian selama dua hari ini, sewajarnya golongan warga emas sama ada berpenyakit atau tidak, kesemuanya perlu lebih berhati-hati.
Begitu juga dengan mereka yang tidak mempunyai sejarah penyakit, meskipun masih berusia muda mereka juga perlu sentiasa berwaspada kerana virus COVID-19 dikesan berjangkit secara sproradik dalam komuniti kita.
Kesempatan ini Jornal Malaysia mengucapkan takziah kepada kesemua ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang dan diharapkan semoga mereka tabah.
Dalam masa sama, bersama-samalah kita menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan melindungi diri menerusi bervaksin.