KUALA LUMPUR | Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yakin 80 peratus warganya dapat disuntik vaksin Covid-19 pada Julai dan Ogos depan.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi pelbagai inisiatif vaksinasi yang giat dijalankan hasrat itu dapat direalisasikan lebih cepat berbanding jangkaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Memetik Harian Metro, beliau berkata, seramai 80 peratus warga Labuan dijangka dapat suntikan vaksin pada Julai ini manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Ogos depan.
“KWP bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk meningkatkan jumlah penerima suntikan di Wilayah Persekutuan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
“Ini boleh laksanakan kerana kita ada lebih 100 pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh Wilayah Persekutuan termasuk PPV mega.
“Selain itu, sebanyak 100 klinik swasta dan 19 hospital swasta dijadikan PPV untuk meningkatkan kapasiti harian pemberian vaksin,” katanya pada sidang media PPN bagi KWP di sini.
Beliau berkata, inisiatif vaksinasi menggunakan trak vaksin bergerak juga akan ditambah kepada 30 buah berbanding hanya 12 trak bergerak ketika ini.
Katanya, Wilayah Persekutuan menyasarkan 50,000 suntikan vaksin sehari bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala 3,000 suntikan untuk Labuan.