KUALA LUMPUR | Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Pahang dan Sabah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sabah membabitkan Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang), Kinabatangan; Kampung Tuunon, Penampang; Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat dan Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.
Katanya, di Pahang, PKPD membabitkan Tringkap, Cameron Highlands dan Bandar Jerantut.
“PKPD di beberapa lokaliti itu berkuat kuasa dari 28 Jun sehingga 11 Julai.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan kes COVID-19 di Penjara Kepayan mendapati berlaku peningkatan apabila sebanyak 18 kes positif dikesan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“Di Kilang Sawit Bell, KKM melakukan 157 ujian saringan dan 29 daripadanya dilaporkan positif COVID-19. Kampung Tuunon, sebanyak lapan kes direkodkan daripada 10 penduduk menjalani ujian saringan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, di Kampung Perpaduan Ria 1 juga berlaku peningkatan apabila sebanyak sembilan kes direkodkan selepas 10 penduduk menjalani ujian saringan.
Katanya, di Kampung Jawi-Jawi sebanyak 12 kes positif direkodkan hasil saringan 20 penghuni.
“Di Tringkap, Cameron Highlands juga berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu apabila sebanyak 70 kes dikesan daripada 592 individu yang disaring.
“Bandar Jerantut, terdapat 186 kes positif dilaporkan selepas 421 penduduk menjalani ujian saringan dalam tempoh 15 hari sehingga hari ini,” katanya.