SEREMBAN | Hampir 2 juta dos vaksin diperlukan bagi menjayakan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bermula bulan depan hingga September ini, bagi mencapai tahap imuniti kelompok sektor itu.
Memetik Betita Harian, Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sejumlah 600,000 dos vaksin diperlukan bulan depan, 600,000 dos pada Ogos dan 795,000 dos menjelang September bagi menjayakan program itu di 49 pusat pemberian vaksin (PPV) industri yang ditetapkan.
Beliau berkata, kementerian itu mahu pastikan program PIKAS berjalan lancar kerana sambutan diterima daripada majikan dan pekerja cukup positif.
“Saya sudah memohon kerjasama kepada Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyokong dengan mendapatkan jumlah bekalan vaksin berkenaan bagi menjayakan program PIKAS.
“Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin juga sudah memberi jaminan PIKAS harus diperuntukkan 600,000 dos pada Julai, kita jangkakan pada akhir September ini proses vaksinasi boleh selesai dan mencapai imuniti kelompok dalam sektor pembuatan.
“Sektor pembuatan antara sektor terpenting dalam ekonomi negara dan ia memerlukan sokongan majikan serta pekerja dalam menjayakan program ini,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri di Dewan Kelab d`tempat Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.
Mohamed Azmin berkata kira-kira 2.25 juta pekerja dalam sektor pembuatan disasarkan menerima vaksin COVID-19 menerusi pelaksanaan PIKAS.
Dalam pada itu, beliau berkata, majikan wajib melengkapkan pemberian dua dos vaksin kepada pekerja masing-masing menerusi program PIKAS secara percuma walaupun terdapat pekerja yang berhenti kerja atas alasan tertentu.