KUALA LUMPUR | Ibadah korban di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibenarkan dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, waktu operasi selepas solat sunat hari raya dan tiga hari Tasyrik.
Katanya, operasi dibenarkan dari 6 pagi hingga 6 petang.
“Kapasiti kehadiran tidak lebih 10 orang bagi sekumpulan atau seekor haiwan.
“Lokasi penyembelihan ialah rumah sembelihan (Abbatoir) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) (27 buah), rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan oleh DVS (35 buah) dan masjid serta surau yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.
“Manakala, panduan ibadah korban perlu mendapat Sijil Kesihatan Veterinar dan permit penyembelihan ternakan daripada Pejabat Veterinar Negeri atau Daerah. Melaporkan program ibadah korban kepada Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, daging korban akan diagihkan kepada kelompok sasar terutamanya asnaf dan rakan jalanan.
Katanya, Aidiladha bagi sebahagian besar masyarakat mungkin sama, tapi bagi sebahagian lain, itulah saat utk mereka menikmati daging yang tidak mampu untuk dibeli.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan secara bersyarat.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata ia susulan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan ibadah korban di Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.