KUALA LUMPUR | Isu Moratorium dan i-Sinar, Kementerian Kewangan hari ini memberikan bayangan yang kerajaan akan mengumumkan bantuan sewajarnya kepada rakyat dalam masa terdekat.
Perkara itu dikongsikan Menterinya, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi facebooknya beberapa minit lalu.
“Salam semua. Saya sudah berbincang dengan PM dan agensi-agensi berkaitan. Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat, InsyaAllah,” katanya.
Semalam Tengku Zafrul juga menyatakan penekanan yang kerajaan sentiasa mengambil berat tentang keluhan rakyat termasuk isu i-Sinar dan i-Lestari antara luahan sering diterima kementeriannya.
Perkongsian beliau dalam tempoh lapan minit itu mendapat 3.3k tanda suka dan dikongsikan 490 pelayar.
Rata-rata pelayar menyambut baik pemakluman tersebut dan tidak kurang juga ada diantaranya memberikan cadangan tertentu untuk dipertimbangkan kerajaan.
Seorang netizen menggunakan nama Faris Ismail bersyukur dengan berita gembira tersebut.
“Alhamdulillah syukur. Moratorium itu sangat penting.. buat macam tahun lepas. Terbaik Menteri Kewangan,” tulisnya.
Sementera itu, Yati Mohd Jais turut memberikan komen pada posting berkenaan dengan meluahkan kesyukuran.
“Alhamdulillah terima kasih Tengku Zafrul saya sekeluarga amat terkesan sangat..Harap dapat membantu,” katanya.