KUALA LUMPUR | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini giat mengambil langkah bagi menangani masalah capaian internet dihadapi guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Pekan Tenom, Sabah.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah pun terdahulunya mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan.
“MCMC ingin memaklumkan bahawa sebuah menara komunikasi sedang dalam proses pembinaan di Kampung Bamban dan pembinaan tersebut dijangka siap pada
bulan April 2022.
“Sebuah lagi menara komunikasi baharu akan dibina berdekatan dengan Kampung Batu 14, di bawah inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan pembinaan tersebut akan bermula pada awal tahun 2022,” katanya hari ini.
Kelmarin, BERNAMA melaporkan beberapa guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Pekan Tenom, Sabah memandu sejauh 40 klometer ke kawasan kampung anak muridnya di Kampung Bamban dan Kampung Batu 14.
Tindakan itu dilakukan semata-mata untuk menghantar bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) gara-gara kerana capaian internet lemah.
MCMC berkata, pembinaan kedua-dua menara komunikasi tersebut dijangka dapat mempertingkatkan liputan capaian Internet di kawasan yang dimaksudkan selain membolehkan para penduduk menjalankan aktiviti seharian mereka dengan lancar.