KUALA LUMPUR | Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Foodbank menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dan bantuan tunai kepada 31 rakyat Palestin di negara ini, semalam.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata,
bantuan itu adalah sebahagian daripada misi solidariti bersama rakyat Palestin.
Katanya, ia dijalankan secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM3.3 juta melibatkan bantuan barangan, wang tunai bagi keluarga rakyat Palestin di Malaysia
dan Palestin.
“Begitu juga pembiayaan yuran pengajian bagi pelajar warganegara Palestin di universiti terpilih dalam negara ini,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Katanya, program sumbangan itu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Global Peace Malaysia dan Malaysia for Syria diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Masjid Usamah Zaid, Wangsa Maju.
Hadir sama, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Timbalan Rektor (Perhubungan Pelajar dan Pembangunan Komuniti) UIAM, Prof Madya Dr Zulkifli Hasan.