KUALA LUMPUR | Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menyerahkan sumbangan sebanyak tiga tan ayam sejuk beku yang dirampas kepada Zoo Melaka semalam.
Menerusi kenyataan MAQIS memaklumkan, pemberian itu adalah daripada rampasan yang bernilai RM27,270.
Pengarah MAQIS Negeri Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, sumbangan bekalan makanan haiwan kepada Zoo Melaka hasil rampasan yang telah dilucut hak membabitkan kes dari Mei sehingga Jun ini.
“MAQIS menyumbangkan tiga tan ayam sejuk beku dengan nilai RM27,270 yang datangnya dari negara Thailand.
“Kesemua ayam sejuk beku itu ditahan semasa cuba dibawa masuk ke negara ini melalui pengkalan haram tebing Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan,” katanya di sini, semalam.
Penyerahan disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman.