KUALA LUMPUR | Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menggariskan tiga fasa dalam Pelan Pemulihan Pelancongan bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerangka holistik itu dirancang selari dengan Pelan Pemulihan Negara.
Katanya, dengan mempercepatkan proses vaksinasi, kerajaan dapat menjayakan Program COVID-19 Free Destination.
“Bagi fasa pertama, kementerian berbincanh dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 MOSTI, satu ketetapan telah dibuat untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis bagi Program COVID-19 Free Destination.
“Kerajaan turut bersetuju untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Langkawi serta menjadikan Kompleks Kraf Langkawi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Tambahan mulai pertengahan Julai.
“Selain Langkawi, destinasi rintis bagi Program COVID-19 Free Destination ini turut dicadang untuk dilaksanakan ialah di Kuching, Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media.
Nancy berkata, pemilihan bandar Kuching adalah bertepatan dengan lokasinya yang terkenal dengan kemasukan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara.
Katanya, Malahan, MOTAC juga telah menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha untuk mengangkat Kuching sebagai salah satu jaringan bandar raya kreatif di peringkat UNESCO dan ASEAN di bawah kategori Gastronomi pada masa terdekat
“MOTAC juga telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Bantuan untuk memperluaskan program ini ke pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang. Pulau Perhentian, Pulau Pangkor, Pulau
Tioman dan juga pulau-pulau yang lain untuk fasa kedua.
“Perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah yang berkaitan terutama melibatkan elemen promosi serta usaha meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada penduduk setempat di pulau-pulau tersebut
“Berdasarkan perbincangan tersebut, Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah disarankan untuk mengemukakan perancangan serta permohonan mengenai keperluan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak MOTAC,” katanya.
Beliau berkata, sesi libat urus antara MOTAC dengan semua Kerajaan Negeri berhubung penentuan destinasi pelancongan utama yang menjadi tarikan pelancong untuk diketengahkan sebagai lokasi yang akan diberikan perhatian dalam fasa ini.
Menurutnya, selain itu, kerjasama juga adaiah termasuk penggunaan fasiliti bersesuaian yang dapat digemblengkan untuk dijadikan pusat PPV.
Ujarnya lagi, MOTAC juga telah mengambil inisiatif dengan kerjasama MOSTI serta Persatuan Pemuzik dan Buskers untuk Persembahan Pemuzik/Buskers di PPV Awam.
“Inisiatif tersebut akan dilaksanakan mulai 8 Julai sehingga 31 Disember 2021 bermula di dua buah PPV Mega iaitu, Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITE) dan World Trade Centre (WTC)
“Inisiatif yang diambil oleh MOTAC ini boleh menjadi pemangkin buat industri pelancongan dan budaya untuk kembali bangkit, seterusnya membantu negara dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk segera mendaftar dan menepati temujani vaksin bagi mencapai sasaran 80% imuniti kelompok negara supaya Malaysia bebas daripada wabak pandemik ini,” katanya.