KOTA BHARU | “S&P Global Ratings (S&P) yang memberi penarafan kredit kedaulatan mata wang asing dan mata wang tempatan jangka panjang Malaysia pada ‘A-‘ dan ‘A’ dengan tinjauan negatif menunjukkan ekonomi negara kita adalah kuat.
“Ianya adalah satu laporan yang baik kerana negara kita menerima penarafan di peringkat yang tinggi,” kata Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Beliau berkata, penarafan itu lebih kepada penerbitan bon yang kerajaan keluarkan.
Katanya, ianya menunjukkan bahawa negara ini mendapat kepercayaan daripada negara asing untuk membeli bon yang dikeluarkan oleh Malaysia.
“Kekuatan pertumbunan Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK) negara membolehkan pelabur luar membeli bon yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Dengan kata lain kedudukan kewangan negara kita stabil,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia berkata, negara juga mendapat kepercayaan rakyat sendiri untuk bersama kerajaan untuk pulih ekonomi negara yang sedikit terkesan dengan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Media sebelum ini melaporkan, S&P mengesahkan semula penarafan kredit kedaulatan mata wang asing dan mata wang tempatan jangka panjang Malaysia pada ‘A-‘ dan ‘A’ dengan tinjauan negatif.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengesahan itu membuktikan kedudukan luaran negara yang kukuh, fleksibiliti dasar monetari, rekod menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan ketahanan ekonomi pada masa tidak menentu yang diiktiraf.