KUALA LUMPUR | Tular pemakluman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa seterusnya selama dua minggu bermula Selasa ini adalah palsu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusinya facebooknya hari ini menafikan perkara tersebut dan meminta masyarakat untuk tidak berkongsi kenyataan berkenaan yang kononnya daripada kementeriannya.
“Palsu, jangan kongsi,” katanya hari ini.
Kenyataan yang palsu tersebut menyatakan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi.
Kenyataan itu juga menyebut, sehubungan dengan itu, PKP 3.0 disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 29 Jun sehingga 12 Julai 2021 dan keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 3,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 5,841.
Tarikh samada PKP 3.0 fasa seterusnya akan dilanjutkan ataupun sebaliknya sememangnya dinanti-nantikan semua pihak.
PKP 3.0 atau total lock down fasa kedua bermula 15 Jun lalu dan akan berakhir pada 28 Jun ini.
Berhubung perkara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lalu memaklumkan keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung atau beralih ke fasa seterusnya akan diumumkan tiga atau dua hari sebelum 28 Jun ini.
Perdana Menteri memberitahu pengumuman tidak akan dibuat dalam masa terdekat, berikutan perlu menunggu lebih banyak data dianalisa Kementerian Kesihatan (KKM).