KUALA LUMPUR | Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia berjaya menahan 10 suspek masing-masing enam lelaki dan empat perempuan di sekitar Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan.
Pengarahnya, Mohd Kamarudin Md Din berkata, daripada jumlah tersebut, tiga lelaki dan dua wanita berbangsa Melayu serta tiga lelaki dan dua perempuan India berusia sekitar 21 hingga 52 tahun.
Katanya, empat daripada suspek merupakan pemilik akaun manakala bakinya adalah pemilik alamat ip yang digunakan bagi menipu mangsa.
“Turut dirampas adalah tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, 10 keping kad kredit, tiga modem, satu monitor dan satu passport Bangladesh.
“Siasatan mendapati, suspek mengiklankan barangan mereka melalui platform e-commerce. Pembeli yang berminat kemudiannya akan dihubungi dan diarahkan untuk berurusan secara terus dengan suspek.
“Setelah bayaran dibuat, barangan yang dijanjikan tidak diterima kesemua suspek disiasat di mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 1 sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata, dengan penahanan suspek-suspek tersebut, pihak polis percaya sekurang-kurangnya 28 kes yang berkaitan dapat diselesaikan.
Katanya, penipuan penjualan secara atas talian atau e-commerce dikesan telah menunjukkan peningkatan yang ketara.
“Berdasarkan rekod pada 2019 sejumlah 3,516 kes telah dicatatkan. Jumlah kes ini meningkat 66.2% pada tahun 2020 kepada 5,845 kes. Bagi tahun 2021, statistik sehingga 20 jun 2021 menunjukkan sejumlah 4,364 kes telah dicatatkan.
“Dalam usaha untuk mencegah kes-kes sebegini berlaku, pihak polis menggesa orang ramai untuk lebih berhati hati dan sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian barangan secara atas talian.
Mohd Kamaruddin berkata, orang ramai digalakkan untuk membuat semakan pengesahan akaun bank, dan talian telefon melalui laman sesawang http://cid.mp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti samada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak.
“Orang ramai juga dingatkan untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan (no. akaun, no. pin, tac atau otp) kepada pihak ketiga kerana dikhuatiri maklumat tersebut boleh mengakibatkan akaun anda digunakan sebagai akaun keldai bagi menipu mangsa lain.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk berurusan melalui platform e-commerce yang sah bagi melakukan pembelian secara atas talian memandangkan penyedia platform ecommerce menyediakan perlindungan dan jaminan sekiranya berlaku perkara yang tidak dingini dalam urusniaga tersebut,” katanya.
Menurutnya, bagi mendapatkan nasihat mahupun menyalurkan maklumat berkenaan kes-kes jenayah atas talian, orang ramai boleh berhubung dengan ccid scam response center melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599.