SEREMBAN | Program Duta Vaksin Orang Asli meningkatkan kesedaran masyarakat itu untuk menerima vaksin COVID-19.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, individu Orang Asli yang menerima vaksin akan menjadi duta kepada masyarakat di kampung masing-masing.
Katanya, mereka akan menyampaikan maklumat yang tepat mengenai vaksin serta berkongsi pengalaman dengan anak buah dalam bahasa suku kaum masing-masing.
“Duta vaksin ini adalah salah satu inisiatif KPLB dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Seremban (PKD) bagi meningkatkan kesedaran dan pertambahan jumlah bilangan Orang Asli yang bersetuju untuk menerima vaksin,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi KPLB di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Bandaraya (MBS) Seremban, hari ini.
Beliau berkata, seramai 420 daripada 2,990 masyarakat Orang Asli dari 12 kampung serta 30 kakitangan JAKOA Negeri Sembilan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di program itu.
Dari jumlah keseluruhan masyarakat Orang Asli itu, seramai 1,734 orang yang layak untuk menerima suntikan vaksin dan 196 orang setuju menerima vaksin.