By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood,75, berhasrat untuk melakukan kayuhan merdeka pada minggu pertama Ogos tahun ini bagi mengulangi pencapaiannya pada program sama tahun lalu.
Bapa kepada enam anak, 23 cucu dan empat cicit itu rindu untuk melakukan kayuhan berbasikal secara solo selain mahu menyemarakkan semangat dan pengisian kemderdekaan negara yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.
Bagaimanapun hasrat pemegang enam rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) itu dapat direalisasikan sekiranya Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berakhir pada awal Ogos tahun ini.
“Saya rindu untuk berbasikal secara solo seperti sambutan kemerdekaan tahun lalu sebagai salah satu daripada program menyemarakkan semangat dan pengisian kemerdekaan negara.
“Saya sedar kekangan SPP susulan PKP 3.0 membataskan hasrat saya untuk melakukan kayuhan berbasikal sempena kemerdekaan negara tahun ini,” katanya ketika ditemui JOURNAL MALAYSIA untuk memulakan latihan harian bermula dari rumahnya di Jalan Telipot di sini, hari ini.
Wan Hashim berharap pelaksanaan SPP dan PKP 3.0 akan berakhir segera dengan kadar penurunan pandemik Covid 19 mencapai tahap paling rendah seperti disasarkan kerajaan supaya rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Katanya, walaupun berdepan dengan pelaksanaan SPP susulan PKP 3.0, beliau tetap menjalani rutin latihan harian dalam sekitar radius 10 kilometer dari rumahnya pada waktu pagi dan petang setiap hari.
“Setiap 7 pagi saya mulakan kayuhan berbasikal sekitar 10 kilometer dan mengulangi pada 6 petang bagi mengekalkan tahap kecergasan diri.
“Walaupun pelaksanaan SPP, saya tetapkan terus rutin harian dalam jarak yang dibenarkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Wan Hashim mengakui kayuhan merdeka yang dilakukan pada tahun lalu turut menggamit memori bagi dirinya ketika berusia 14 tahun, dia pernah berbasikal dari Kelantan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur semata-mata untuk menyambut Kemerdekaan.
Untuk rekod, pada sambutan kemerdeaan tahun lalu, Wan Hashim, melakukan kayuhan berbasikal selama 23 hari dengan mengelilingi seluruh semenanjung.
Wan Hashim, sebelum ini pernah melakukan misi kayuhan berbasikal pada 2014, 2015, 2017, 2018 dan 2019 yang turut menerima pengiktirafan MBOR.