By Ismail Muhamad
KUALA KRAI | Seramai 10 penduduk Orang Asli dari lima keluarga di Kampung Kluat di sini, mendaftar dan menerima suntikan vaksinasi Covid 19 di perkampungan itu hari ini.
Mereka menerima suntikan dos pertama vaksin menerusi program Outreach ke perkampungan mereka yang dilaksanakan oleh petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ini.
Kedudukan kampung Kluat yang terletak di pedalaman dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil boleh dilalui menggunakan perkhidmatan feri di Jeti Batu Lada di sini, selain kenderaan pacuan empat roda dengan penggunaan jalan balak untuk sampai ke kampung itu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut meninjau proses pemberian suntikan vaksin Covid 19 kepada penduduk Orang Asli Kampung Kluat.
Tok Batin Orang Asli Kampung Kluat, Kamal Gadong, 45, berkata, beliau mewakili keluarga berkenaan berterima kasih kepada kerajaan dalam menyediakan kemudahan suntikan vaksin Covid di perkampungan mereka.
Beliau mengakui, masyarakat Orang Asli teruja untuk menerima suntikan vaksin yang dilaksanakan pihak PKD Kuala Krai di penempatan mereka.
“Penduduk Orang Asli di Kampung Kluat membuat pendaftaran vaksin melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membolehkan kami di sini mendapatkan suntikan vaksin.
“Saya harap penduduk Orang Asli yang belum mendaftar dan mendapatkan suntikan supaya dapat berbuat demikian dengan segera,” katanya ketika ditemui pada program Outreach Vaksinasi Covid 19 di Kampung Kluat di sini, hari ini.
Kamal bersama sembilan penduduk Orang Asli Kampung Kluat menerima suntikan dos pertama daripada petugas PKD Kuala Krai.
Turut hadir pada program itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah dan Pegawai Kesihatan Daerah ini, Dr Hazura Mat Zubir.
Seorang lagi penduduk Orang Asli Kampung Kluat, Ramadan Yaakob, 29, berkata, dia beruntung kerana dapat suntikan dengan cepat melalui program bergerak ke perkampungannya.
Katanya, sekiranya mahu ke Kuala Krai untuk mendapatkan vaksin Covid 19, jarak perjalanan yang jauh dan memerlukan pergerakan dengan perkhidmatan feri atau bot penambang.
Bagi Busu Jambu,27, berkata, dia mendaftar empat hari melalui JAKOA dan hari ini menerima suntikan vaksin Covid19.
“Kita tunggu vaksin di kampung kerana ada petugas kesihatan datang ke sini nak suntik vaksin.
“Kami terima program suntikan vaksin kerana ianya memberi kemudahan kepada kami yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya.
Warga emas, Molek Busu, 70, berkata, dia tidak mengalami apa-apa kesakitan ketika menerima suntikan vaksin, malah prosesnya jugak cukup cepat dan mudah.
“Tak sakit apa-apapun, tak terasa bila kena suntik.Saya tunggu suntikan vaksin di kampung ini,” katanya.