KUALA LUMPUR | Sebanyak 110,000 pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera telah direkodkan di kalangan ibu-ibu yang mengandung di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pendaftaran itu direkodkan sehingga
kelmarin.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 11,663 orang dijangka bersalin (Estimated Date of Delivery) pada Ogos nanti.
“Ibu-ibu mengandung ini telah diberi keutamaan berdasarkan EDD mereka.
“Saya turut berkesempatan bertanya khabar dan perasaan ibu mengandung yang sedang menunggu giliran mereka divaksin.
“Syukur alhamdulilah, mereka nampaknya teruja dan berfikiran positif tentang kebaikan vaksinasi kepada diri dan bayi yang dikandungkan,” katanya di sini hari ini.
Beliau menyeru agar ibu-ibu hamil yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin agar dapat membuat pendaftaran dan mengemaskini status kehamilan di Aplikasi MySejahtera.
Katanya, sesungguhnya ibu yang mengandung merupakan kumpulan yang berisiko tinggi jika dijangkiti COVID-19 kerana sistem imuniti badan mereka lebih rendah berbanding orang dewasa lain yang tidak mengandung.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) juga telah memaklumkan bahawa ketiga-tiga vaksin iaitu Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac kini sesuai untuk ibu hamil dan menyusu oleh kerana manfaatnya yang jauh lebih besar daripada potensi risiko yang dikaji,” katanya.