KOTA BHARU | Perkembangan pendafaran vaksin di Kelantan sangat baik apabila sehingga kini seramai 625,226 individu sudah mendaftarkan di aplikasi MySejahtera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah itu membabitkan hampir 51 peratus daripada jumlah mereka yang layak menerima vaksin COVID-19.
Katanya, penerima bagi dos pertama sebanyak 216,000 atau 16.7 peratus dan dos kedua 111,619 atau 9 peratus.
“Lebih kurang 26 peratus sudah me dapat vaksin bagi dos pertama dan kedua.
“Ia satu perkembangan yang sangat baik apabila rakyat Kelantan berlumba-lumba untuk mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Seramai 3,000 individu akan divaksinasi di PPV itu yang akan diadakan selama lima hari bermula hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Kota Bharu mencatatkan pendaftaran tertinggi iaitu 55 peratus daripada jumlah individu yang layak.