TْUMPAT | Cubaan menyeludup 750 liter petrol ke negara jiran dengan anggaran RM1537.50 berjaya dipatahkan dalam Ops Bersepadu di sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, Pegawai Penguat Kuasanya bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Tumpat telah menjalankan Ops Bersepadu di sekitar Kampung Belukar, Wakaf Bharu, di sini.
“Semasa rondaan dan pemantauan dijalankan di sekitar Wakaf Bharu pasukan telah menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Belukar, Wakaf Bharu namun pemandu berjaya melarikan diri semasa penahanan tersebut.
“Pasukan telah membuat pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Proton Geng 2 dengan berpendaftaran Malaysia dan telah menjumpai tong-tong plastik berisi minyak petrol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan mendapati sebanyak 30 tong anggaran 25 liter setiap tong berada di tempat duduk penumpang yang mana telah diubahsuai bagi membawa muatan dengan banyak.
Beliau memberitahu, turut dirampas ialah kenderaan dengan anggaran nilai RM 10,000.
“Siasatan dan tindakan selanjutnya akan dijalankan oleh Pegawai Penguat Kuasa, Pejabat KPDNHEP Negeri Kelantan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Untuk rekod semalam KPDNHEP Negeri Kelantan menerima 4 serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 7, melibatkan rampasan barangan kawalan dengan minyak masak dan tepung gandum dengan anggaran sebanyak 3322 kilogram dengan nilai rampasan keseluruhan anggaran sebanyak RM 7,700 dan tiga kenderaan dengan anggaran RM 15,000.
Katanya, kerjasama bersama agensi-agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan barang kawalan yang diseludup ke negara jiran dapat dibanteras serta memastikan pengguna dapat menikmati subsidi dibekalkan kerajaan dinikmati oleh pengguna sepenuhnya.