KUALA LUMPUR | Dine-in di restoran hanya dibenarkan ketika bermulanya fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun hanya terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ketika fasa itu juga, semua sektor pendidikan termasuk sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta, Institut Latihan Kemahiran (ILK) dan institusi-institusi pendidikan lain akan mula dibuka.
“Aktiviti-aktiviti sosial masih tidak dibenarkan semasa fasa tiga. Bagaimanapun, kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang dalam satu-satu masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Memetik Berita Harian, beliau berkata, turut dibenarkan pembukaannya pada fasa tiga kelak, aktiviti pelancongan dengan syarat pelancongan
dalam negeri saja serta industri kreatif sebagai contoh acara langsung tanpa penonton.
Dalam pada itu, Ismail berkata, semua prosedur operasi standard (SOP) fasa satu PPN yang sedang berkuatkuasa ketika ini menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih diguna pakai kepada semua aktiviti sosial dan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi.
Bagi fasa kedua, katanya kebenaran operasi bagi sektor ekonomi pembuatan, perdagangan dan pengesaran akan mula diperluas meliputi automotif, gerah, seramik, besi dan keluli, simen, kilang perabut bagi tujuan eksport, kedai buku dan alat tulis, kedai cuci kereta, barangan elektrik, gunting rambut serta komputer dan telekomunikasi.