AMSTERDAM | Keputusan pengadil, Daniel Siebert yang melayangkan kad merah kepada Harry Wilson bukan setakat mencetuskan rasa tidak puas hati pemain Wales malah turut mengundang kemarahan penyokong mereka.
Lapor Agensi, pemain sayap Liverpool itu dilayangkan kad merah selepas didapati mengasari Joakim Maehle dari belakang pada aksi yang berakhir dengan kekalahan 4-0 buat Wales.
Malah, bukan insiden itu sahaja yang mengecewakan penyokong Wales malah keputusan pengadil membenarkan gol kedua Denmark turut dipersoalkan walaupun Kieffer Moore dikasari sebelum gol itu dihasilkan.
Penyokong Wales meluahkan kemarahan menerusi Twitter dan begitu kritikal terhadap keputusan Siebert yang mengarahkan Wilson untuk meninggalkan padang.
“Mengapa video bantuan pengadil (VAR) tidak menyemak kad merah itu,” kata @Carter_QPR sementara @txnnya menambah ‘itu bukanlah kad merah.”
@Danni020716 yang turut kecewa menulis ‘itu keputusan yang kelakar, kad merah! Apakah itu?’
Sementara itu, pengkritik yang mengulas aksi terbabit, Mark Hughes bersetuju dengan kekecewaan penyokong Wales itu dengan berkata ‘itu tidak sepatutnya kad merah.
“Sudah tentu ada kekecewaan kerana ia bukanlah kekasaran. Tidak patut kad merah dilayangkan. Ia malam yang mengecewakan buat kita semua.”