KOTA BHARU | Seorang peniaga berjaya melelong kasut Converse dengan nama Converse Non Skid yang berusia 104 tahun dengan harga RM40,800.
Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, berkata, dia memuat naik status di laman Facebooknya semalam untuk menjual kasut Converse berkenaan ekoran terkesan dengan pandemik COVID-19.
Katanya, sebaik memuat naik status, ramai yang menghubunginya termasuk menerusi aplikasi WhatsApp.
“Ramai berminat untuk membeli kasut itu, namun ada seorang lelaki dari Pahang bersetuju untuk membeli kasut itu dengan harga yang saya tawarkan.
“Sebenarnya saya amat sayangkan koleksi ini kerana membelinya dengan harga puluhan ribu ringgit pada 2018, namun saya terpaksa menjualnya.
“Saya setuju menjualnya kerana pembeli juga orang negara ini dan tahu amat sukar untuk mendapatkan koleksi seperti itu selepas ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chempaka di sini, hari ini.
Katanya, kasut yang dihasilkan pada 1917 itu didatangi bersama dengan sepasang seluar pendek tahun 1916 berserta pelindung lutut pemain bola keranjang.
Menurutnya, dia akan menghadiahkan tiga lagi pasang kasut Converse dari tahun 1950, 1960 dan 1970 kepada pembeli itu.