KOTA BHARU | Rakyat perlu yakin bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan sekali mengabaikan kebajikan termasuk perusahaan kecil sederhana (PKS) walaupun mereka berdepan kesukaran kesan daripada pandemik Covid-19.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) adalah pakej ketujuh diumumkan kerajaan dalam usaha membantu rakyat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, tahun lalu.
Malah, katanya, daripada jumlah RM322.5 bilion Belanjawan 2021 yang diumumkan, kira-kira RM200 bilion lagi belum digunakan kerajaan sekali gus memberi keyakinan bahawa kebajikan rakyat terutama B40 akan terus terjamin.
“Cuma apa yang perlu dibaiki adalah saluran penyampaian yang masih kurang supaya bantuan dan rangsangan dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran dengan lebih berkesan dan efisien.
“Dalam masa terdekat, kita juga mahu mencapai 80 peratus imuniti kelompok dengan lebih cepat supaya aktiviti ekonomi dapat kembali sedia kala.
“Saya yakin walaupun kita masih dalam keadaan pandemik, banyak lagi pakej bantuan akan disampaikan kepada rakyat dan PKS supaya terjamin jika kita keluar daripada wabak ini, kita sudah dalam keadaan bersedia untuk pulihkan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bertajuk Realiti Terkini: Apa Nasib Ekonomi Rakyat yang disiarkan secara siaran langsung menerusi media sosial, malam ini.
Selain Mohamed Farid, Bekas Penyarah Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zainal Abidin Kidam menjadi antara panel yang dikendalikan moderator, Muhammad Suhaimi.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata beliau percaya pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan cukup berkesan, namun satu institusi yang bertanggungjawab perlu diwujudkan untuk mengumpul maklumat supaya kelompok kecil rakyat tidak tercicir.
“Masih ada kelompok kecil yang terkesan perlu ditangani dan diberi perhatian. Justeru, institusi ini perlu memainkan peranan mengumpul data bank supaya dapat disalurkan kepada pihak tertentu untuk memberi bantuan.
“Misalnya, ramai rakyat yang mengalami masalah kewangan sehingga tiada makanan namun ramai badan bukan kerajaan (NGO) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan berkenaan.
“Cuma mereka yang mempunyai masalah ini tiada tempat untuk mengadu. Oleh itu, data bank perlu diadakan supaya keluhan rakyat daripada kelompok kecil ini dapat disalurkan sekali gus bantuan segera akan diberikan,” katanya.