KOTA BHARU | Kerajaan wajar mempertimbangkan status tetap kepada pegawai perubatan kontrak di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya kebajikan dan pembangunan kerjaya doktor muda itu terjamin.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata isu status kontrak ini dilihat semakin panas apabila terdapat seruan Hartal Doktor Kontrak untuk pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada Julai depan sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka sekian lama.
Katanya, CUEPACS sekian lama telah berpendirian bahawa lantikan kontrak tidak sepatutnya diamalkan untuk penjawat awam apatah lagi bagi perkhidmatan ‘essential’ seperti sektor kesihatan.
“Dalam hal ini, CUEPACS berdiri teguh dan bersolidariti dengan doktor muda ini dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam memperjuangkan hak pekerjaan mereka untuk mendapat status lantikan tetap.
“Bagaimanapun CUEPACS tidak menyarankan seruan Hartal Doktor Kontrak diteruskan kerana dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara yang berada dalam situasi genting ketika ini.
“CUEPACS bersedia menjadi penghubung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pegawai perubatan muda ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, ketika negara sedang dilanda pandemik dan kepakaran serta khidmat bakti pegawai perubatan muda ini ditagih, mereka sebenarnya terhimpit dengan status kontrak yang tidak memberi jaminan kerjaya.
Menurutnya, dengan kontrak disambung dari tahun ke tahun, mereka juga menerima gaji, elaun dan cuti yang terhad berbeza dengan doktor tetap.
Lebih menyedihkan, katanya, pegawai perubatan kontrak ini tidak berpeluang menyambung kepakaran mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk bergelar pakar kerana status kontrak tersebut.
“Dengan ketiadaan jaminan dalam pekerjaan dan pembangunan kerjaya, pegawai perubatan muda ini sukar membuat perancangan masa depan kerana sentiasa menunggu penyambungan kontrak setiap masa.
“CUEPACS tidak mahu situasi yang berlaku ketika ini memberi kesan jangka panjang kepada sektor perkhidmatan kesihatan awam negara apabila baka-bakal doktor muda melihat tiada sinar masa depan di negara sendiri dan memilih untuk berkhidmat di luar negara.
“Selain itu, CUEPACS merasaskan adalah tidak wajar sektor ‘essential’ seperti KKM tertakluk dengan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam. Perkara ini perlu diteliti semula kerana ia keperluan yang amat penting untuk rakyat dan negara,” katanya.