KOTA KINABALU | Tindakan menyerang rakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan cubaan melaga-lagakan SAPP dengan STAR menerusi media sosial adalah keterlaluan dan tidak mencerminkan pengetahuan birokrasi dalam berkomentar.
Ketua Penerangan Pemuda SAPP, Charles Gokin menegaskan tindakan tidak bertanggungjawab sebegitu perlu dihentikan.
“Parti SAPP dan STAR umpama adik beradik, tiada siapa yang boleh menafikannya. Di mana ada SAPP di situ ada STAR. Begitu juga sebaliknya.
“Samada STAR mempunyai banyak kerusi berbanding SAPP, itu bukanlah perkara asas dalam hubungan SAPP dan STAR.
“Ianya dibina bukan sehari dua, malah hubungan kerja dan komunikasi antara SAPP Dan STAR sebagai satu pasukan sudah wujud sejak awal lagi sebelum penubuhan Parti Solidariti Tanah Airku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Charles berkata, malah kunci asas Gabungan Sabah 2015 juga adalah kerana keakraban kedua parti ini yang terus menjadi tunjang secara bersama sehingga kini.
“Apabila kita menyertai PN, biarpun dengan cantuman berbagai idealogi politik, ianya digarap dalam satu matlamat ke arah penyatuan. Tidak ada yang superior, tapi saling melengkapi.
“Untuk peringatan, kami bernaung di bawah PN. Menggunakan lambang yang sama iaitu PN. Sesiapa juga didalam PN kini adalah keluarga PN. Menang atau kalah tetap bersama,” katanya.
Katanya, STAR dan SAPP tidak bertanding atas tiket masing-masing tetapi atas tiket PN yang mana semua wakil rakyat di bawah PN adalah mewakili PN.
“Kita mendukung matlamat yang sama. Jika ada yang tidak bersetuju, maka suarakan bantahan itu menerusi parti masing-masing tanpa membuat kenyataan sebarangan di media sosial yang akan menimbulkan perasaan kurang senang ahli parti lain,” katanya.