KUALA LUMPUR | Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa operasi perkilangan yang dikenalpasti sebagai pencetus kluster ditutup serta-merta.
Ketua Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kegagalan sektor perkilangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengagalkan usaha kerajaan melandaikan Covid-19.
“Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa “Kluster Tempat Kerja” ini mestilah dihentikan dan operasi perkilangan yang dikenalpasti hendaklah ditutup serta merta selama dua minggu.
“Kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak mematuhi SOP yang digariskan bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun baru-baru ini, berjaya,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda PAS juga mencadangkan agar pihak Majlis Keselamatan Negara mengambil strategi lockdown bersasar yang lebih ketat dan melonggarkan SOP di daerah-daerah yang bersatus hijau.
“Rakyat yang patuh pada SOP tidak harus dihukum akibat kegagalan pihak lain.
“Saya yakin kerajaan mampu membuat keputusan terbaik demi menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” katanya.
Khairil yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional berkata, hari ini terdapat 14 kluster baru kes COVID-19 di dalam negara kita dengan jumlah kes harian sebanyak 5,803 kes.
Katanya, sembilan daripada 14 kluster tersebut adalah Kluster Tempat Kerja.
“Tiga daripadanya di Selangor, dua di Johor, dan satu Kluster masing-masing Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.
9 daripada 14 Kluster kes COVID-19 tersebut adalah daripada Kluster Tempat Kerja. Daripada 9 Kluster Tempat Kerja ini, 3 Kluster di Selangor, 2 Kluster di Johor, 1 Kluster di WP Kuala Lumpur, 1 Kluster di Pulau Pinang, 1 Kluster di Melaka dan 1 Kluster di Kelantan,” katanya.