KUALA LUMPUR | Terdapat kekeliruan dalam peranan pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops yang diumumkan sebelum ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat dua pembahagian tugas iaitu National Task Force yang diketuai ATM dan Ops Benteng yang membabitkan kawalan sempadan oleh 11 agensi termasuk PDRM, APMM dan lain-lain.
Katanya, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM dan dibantu ATM, APM, RELA, PBT dan lain-lain bagi tujuan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sekatan jalan raya (SJR).
“Bagi memantau dan tindakan terhadap kilang-kilang dan premis perniagaan yang melanggar perintah atau SOP, Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaras Special Task Force yang baru diwujudkan.
“Memandangkan sudah wujud Task Force Operasi Pematuhan di bawah PDRM yang menjalankan tugas memantau pematuhan SOP di tempat awam dan premis perniagaan, maka sidang khas MKN berpandangan tidak perlu wujudkan lagi Special Task Force,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, beliau berharap semua pihak faham pembahagian tugas dan gerak kerja ATM dan PDRM dalam menjalankan tugas.