KOTA BHARU | Pemberian moratorium perlu dipertimbangan untuk diberikan kepada kumpulan terkesan terutama rakyat yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau ‘total lockdown’.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata mengikut statistik, sebanyak 5.6 peratus rakyat atau isi rumah berada di garis kemiskinan, manakala 2.7 peratus lagi dalam miskin tegar, sekali gus menjadikan kumpulan ini sangat terkesan dengan pandemik Covid-19.
Tambahan pula, katanya, terdapat dua kebaikan yang diperoleh rakyat dan bank itu sendiri jika moratorium selama enam bulan diberikan kepada mereka.
“Rakyat yang mendapat moratorium boleh bernafas sedikit dan menguruskan kewangan yang lebih teratur apabila tidak memikirkan untuk membayar pinjaman bank mereka.
“Bagi bank pula, nilai pinjaman tidak berbayar (NPL) juga boleh dikurangnya. Kalau peminjam tidak mampu membayar pinjaman mereka dalam tempoh tiga bulan boleh meningkatkan NPL sekali gus mengurangkan kadar keuntungan bank.
“Apapun, kita perlu serahkan kepada kebijaksaan Kementerian Kewangan untuk mengenalpasti kumpulan mana yang perlu diberikan moratorium automatik, dan kumpulan mana yang perlu memohon,” katanya dalam dalam wawancara bertajuk Realiti Terkini: Apa Nasib Ekonomi Rakyat yang disiarkan secara siaran langsung menerusi media sosial, malam tadi.
Selain Mohamed Farid, Bekas Penyarah Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zainal Abidin Kidam menjadi antara panel yang dikendalikan moderator, Muhammad Suhaimi.
Mengulas lanjut, beliau mengakui industri perbankan turut terkesan dengan pandemik ini apabila misalnya Maybank mengalami penurunan keuntungan daripada RM8.5 bilion kepada RM6.7 bilion pada tahun lalu.
“Namun, nilai aset bank berkenaan turut meningkat daripada RM834 bilion kepada RM856 bilion pada tahun lalu. Perkara sama juga berlaku pada bank lain,” katanya.