KOTA BHARU | Kaedah Persidangan Parlimen belum diputuskan lagi sama ada akan dilakukan secara hibrid atau fizikal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, untuk sidang parlimen, speaker akan memutuskan sama ada ianya dibuat secara hibrid atau fizikal.
Katanya, jika sidang parlimen tidak boleh dibuat secara fizikal, maka pilihannya akan dilakukan secara hibrid.
“Hibrid adalah sebahagiannya hadir secara fizikal dalam jumlah tertentu, manakala yang selebihnya hadir secara maya. Bagaimanapun speaker baru mencadangkan kaedah hibrid kepada kerajaan dan kita belum
memutuskan Parlimen bersidang guna kaedah yang mana.
“Sidang parlimen dijangka bersidang pada akhir Ogos atau awal September akan datang sepertimana kenyataan yang dikeluarkan Speaker kelmarin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Takiyuddin berkata, mengikut undang-undang, notis untuk persidangan Parlimen akan dibuat selepas tamat Ordinan Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
“Tarikh untuk Parlimen bersidang akan diputuskan oleh Perdana Menteri kerana Perdana Menteri yang akan menentukan tarikh persidangan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, persidangan parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.