By Ismail Muhamad
KUALA KRAI | Setiap rakyat termasuk di kawasan pedalaman dan terpencil di seluruh negara tidak akan tercicir daripada menerima suntikan vaksin
Covid 19.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setiap masalah yang dihadapi rakyat termasuk masyarakat Orang Asli dibantu dari segi proses pendaftaran secara automatik selain melalui aplikasi MySejahtera.
Katanya, kerajaan menyegerakan pendaftaran dan temu janji pemberian suntikan vaksin melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan program Outreach bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di pedalaman dan terpencil di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Malah, program secara bergerak di kawasan pedalaman dan terpencil termasuk di perkampungan Orang Asli dilakukan barisan petugas kesihatan bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid 19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kempen Jom Vaksin dan program Outreach Vaksinasi Covid 19 di Perkampungan Orang Asli Kampung Kluat, di sini, hari ini.
Pada majlis itu agihan bakul prihatin Covid 19 kepada seramai 10 penduduk Orang Asli dari lima keluarga di kampung berkenaan yang menerima suntikan vaksin dos pertama.
Beliau berkata, menjadi komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat negara ini mendapat perlindungan melalui imuninasi Covid 19 Kebangsaan.
Katanya, selain menumpukan kepada kawasan bandar, kerajaan mahu memastikan vaksin ini sampai sama ada kepada masyarakat Orang Asli, warga emas, orang kelainan upaya dan gelandangan.
“Hari ini, kita merentas sungai, naik feri bagi memastikan vaksin ini sampai kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Kluat, dalam jajahan Kuala Krai
“Setakat ini kita berpuas hati telah melaksanakan program vaksinasi kepada Orang Asli di seluruh negara dan tahap penerimaan mereka sangat tinggi,” katanya.
Mengenai dos ketiga beliau berkata, kerajaan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya mahu menyelesaikan pemberian suntikan dos pertama dan kedua secara menyeluruh. terlebih dahulu.
Katanya, Jawatankuaaa Teknikal akan meneliti kesemua data-data klinikal dan pakar-pakar mengenai keperluan dos ketiga vaksin.
“Dalam pada itu, saya melihat kerjasama pelbagai pihak termasuk pimpinan masyarakat cukup tinggi membantu kerajaan meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan suntikan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan.,” katanya.