KUALA LUMPUR | Seorang wanita Melayu serta enam lelaki warga Nigeria antara ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, dalam usaha menumpaskan sindiket penipuan 419 scam (parcel scam / love scam).
Pengarahnya, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, serbuan itu dilakukan di sekitar Kajang, Selangor selepas sindiket itu dikesan melakukan penipuan terhadap warga tempatan dan luar negara.
Katanya, suspek yang ditahan berusia lingkungan 33 hingga 42 tahun dan mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) atau Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/62.
“Turut dirampas lapan komputer riba, 17 telefon bimbit, tiga unit pendrive, dua set modem wifi, dua set router, dua keping kad atm, satu set anak kunci, dua passport Nigeria dan beberapa dokumen lain yang berkaitan.
“Siasatan dijalankan mendedahkan sindiket ini mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes penipuan 419 scam yang telah dilaporkan.
“Kita turut mendapati, sindiket warga Nigeria ini bergiat aktif sejak lima tahun yang lalu dan memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar dan lawatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd Kamaruddin berkata, walaupun tempoh visa telah tamat, mereka terus tinggal di negara ini secara haram dan menjalankan kegiatan penipuan.
Katanya, sindiket terbabit beroperasi dalam dua kumpulan yang berbeza di mana satu kumpulan mencipta akaun palsu di media sosial dan memperdaya mangsa manakala satu lagi berperanan untuk mencari akaun keldai.
“Sindiket ini juga bersekongkol dengan warga tempatan yang akan menyamar sebagai pegawai kastam atau staf syariat kurier untuk memperdaya mangsa.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan warga maya atau kenalan baru yang ingin menjalinkan hubungan persahabatan atau percintaan di laman media sosial terutamanya yang menjanjikan hadiah sebagai tanda sayang,” katanya.
Beliau berkata, orang awam jangan mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon, whatsapp atau mesej daripada pihak kastam ataupun syarikat kurier yang menyatakan ada menerima parcel yang memerlukan pembayaran dilakukan untuk membolehkan parcel tersebut dihantar ke alamat mangsa.
Selain itu katanya, jangan sesekali membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain atau menyerahkan kad atm untuk digunakan bagi apa sahaja urusan dan jangan mendedahkan maklumat perbankan (nombor akaun, nombor pm dan nombor tac) kepada pihak ketiga.
“Membuat pengesahan nombor akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu melalui portal http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti samada akaun bank dan nombor telefon tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak sebelum membuat sebarang transaksi bayaran.
“Sila hubungi ccid scam response center di talian 03-26101559 / 03-26101599 atau whatsapp ke ccid infoline di talian 013-2111222 untuk menyalurkan maklumat / aktiviti jenayah komersil yang berlaku di persekitaran anda,” katanya.